BERBAKTI dan berbuat baik kepada ibu bapa satu perintah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan setiap individu bergelar anak tanpa mengira ibu bapanya itu beriman atau sebaliknya. |
BERBAKTI dan berbuat baik kepada ibu bapa satu perintah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan setiap individu bergelar anak tanpa mengira ibu bapanya itu beriman atau sebaliknya.
Dalam surah al-Isra', ayat 23 hingga 25, Allah menerangkan kepada kita supaya berbuat baik kepada mereka, maksudnya: "Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.
"Jika seorang atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada kedua-duanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
"Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku ketika kecil.
"Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada di hatimu; jika kamu orang yang baik, maka sesungguhnya Ia adalah Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat."
Melalui nas terbabit jelas sekali kepada kita, berbakti kepada orang tua bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main dan boleh dipandang ringan kerana ia adalah suatu perintah yang mesti dilakukan.
Bahkan berbakti dan berbuat baik kepada mereka tergolong dalam amalan yang sangat disukai Allah. Ini sebagaimana hadis diriwayatkan dalam Sahih Bukhari daripada Abdullah, katanya:
"Aku bertanya kepada Nabi s.a.w, amalan manakah paling disukai Allah Azza Wajalla? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Abdullah berkata, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian bakti kepada kedua orang tua. Dia berkata lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah."
Hadis berkenaan menunjukkan besarnya kedudukan ibu bapa dalam Islam. Berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa amalan terbaik yang patut didahulukan daripada perkara lain, termasuk berjihad.
Menurut al-Qurthubi, termasuk berbakti dan berbuat baik kepada orang tua ialah tidak mencacinya dan menderhaka kepada mereka.
Jika ibu bapa atau seorang daripada mereka menyuruh si anak, wajib anak mentaatinya apabila perintah itu bukan membabitkan perkara yang mengundang dosa dan kemurkaan Allah.
Kita mempunyai ibu bapa dan kita sepatutnya bersyukur kepada mereka. Dengan adanya mereka, kita lahir ke dunia dan dapat mengenal segala isinya, malah dengan jasa mereka kita mendapat kenikmatan berlimpah ruah.
"Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada orang tuamu, hanya kepada-Ku kamu kembali." (Luqman:14)
Bagaimana bersyukur? Antaranya, kita memikul tanggungjawab terhadap mereka, dengan mengambil berat kebajikan mereka setiap waktu, memberikan bantuan serta menjaga dan mengambil tahu makan pakai mereka.
Sebagai anak, kita juga perlu menjaga hubungan dengan ibu bapa dan memastikan sentiasa akrab walaupun apabila sudah dewasa dan mempunyai rumah tangga sendiri.
Perbuatan derhaka dilarang sama sekali. Mereka yang menderhaka berdosa besar. Dalam satu hadis menerangkan derhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)
Menurut hadis nabi juga, orang yang derhaka pada ibu tidak mencium bau syurga. Dalam satu kisah, sahabat Nabi s.a.w bernama Alqamah, seorang yang kuat beribadat, tetapi apabila di saat kematiannya dia tidak dapat mengucap syahadah kerana perbuatannya menyinggung hati ibunya, akibat terlalu cinta kepada isterinya.
Melihat keadaannya yang nazak, Nabi mengancam untuk membakarnya, tetapi apabila ibunya datang dan memaafkannya, azab yang menimpa Alqamah berakhir.
Peristiwa terbabit wajar dijadikan iktibar kepada semua di antara kita. Janganlah kerana isteri hak ibu terabai dan disebabkan suatu perkara remeh, tergamak meninggikan suara terhadap ibu sendiri.
Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani)
No comments:
Post a Comment